28 Mac 2012

Video Allahyarham Koperal Ismayuddin Ismail Yang Dirempuh Bas


Dipetik dari Berita Harian. Al-Fatihah kepada Allahyarham dan takziah kepada keluarganya.

"JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas wanita dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini semalam, atas tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang anggota polis trafik dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar di sini pada malam Khamis lalu.

Wong Lim Chan, 48, dituduh memandu sebuah bas bernombor pendaftaran Singapura secara melulu dan membahayakan pengguna lain di kawasan Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (KIK) Bangunan Sultan Iskandar di sini, hingga menyebabkan kematian Koperal Ismayuddin Ismail, kira-kira jam 11.35 malam 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 serta lesen memandu digantung. Lim Chan mengaku tidak bersalah sejurus mendengar tuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Ravindran di depan Majistret Maslinda Selamat.

Ravindran memohon supaya Lim Chan dikenakan ikat jamin RM12,000 oleh seorang penjamin tetapi Maslinda menetapkan ikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Beliau turut memerintahkan lesen memandu Lim Chan digantung sehingga perbicaraan kes itu selesai dan menetapkan 24 April ini sebutan semula kes itu sementara menunggu serahan dokumen sebelum menetapkan tarikh perbicaraan. Lim Chan membayar jaminan yang ditetapkan itu.

Sebelum ini pada 22 Mac lalu, Ismayuddin maut dirempuh sebuah bas dan diseret hampir 150 meter ketika bertugas di laluan keluar KIK Bangunan Sultan Iskandar dekat sini. Dalam kejadian, Ismayuddin yang bertugas dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan memulakan kerja lebih awal seperti diamalkannya selama ini, maut di tempat kejadian selepas dirempuh bas bernombor pendaftaran Singapura terbabit.

Mangsa dirempuh bas yang hilang kawalan itu dari arah depan dan cedera teruk selain turut diseret. Seorang rakan setugas mangsa bagaimanapun sempat mengelak daripada dirempuh."


Source

Tiada ulasan:

Catat Ulasan